Share

Facebook icon Twitter icon Mail icon
Earthworm Foundation dan JASPO Bekerjasama untuk Memperkukuh Pengambilan Pekerja Beretika dalam Sektor Minyak Sawit di Sabah
Earthworm Foundation dan JASPO Bekerjasama untuk Memperkukuh Pengambilan Pekerja Beretika dalam Sektor Minyak Sawit di Sabah
News 30 Jan 2026

Earthworm Foundation dan JASPO Bekerjasama untuk Memperkukuh Pengambilan Pekerja Beretika dalam Sektor Minyak Sawit di Sabah

Kota Kinabalu, Sabah, 30 Januari 2026 – Earthworm Foundation dan  Sabah Jurisdictional Approach for Sustainable Palm Oil (JASPO) hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi bekerjasama dalam memperkukuh amalan pengambilan pekerja beretika di seluruh sektor minyak sawit Sabah, dengan tumpuan khusus kepada sokongan terhadap pekebun kecil dan pengeluar minyak sawit berskala sederhana. Kerjasama ini bertujuan untuk menambah baik proses pengambilan tenaga kerja selaras dengan piawaian buruh antarabangsa serta jangkaan industri yang semakin berkembang. Inisiatif ini turut menyokong misi Kerajaan Negeri Sabah untuk mempromosikan pembangunan minyak sawit yang mampan, inklusif dan bertanggungjawab.

Sabah masih sangat bergantung kepada pekerja migran, khususnya dalam sektor yang intensif buruh seperti perladangan, pembinaan dan kerja domestik. Walaupun inisiatif kerajaan terkini untuk menambah baik pendaftaran dan pengurusan pekerja migran telah menunjukkan kemajuan yang positif, cabaran struktur serta jurang pelaksanaan masih wujud dalam amalan pengambilan dan pengurusan pekerjaan.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah JASPO dan Earthworm Foundation.

Earthworm Foundation membawa pengalaman daripada kerja berterusannya dalam bidang pengambilan pekerja beretika di Malaysia sejak tahun 2019. Di Sabah, usaha ini merangkumi satu kajian penyelidikan mengenai pengambilan dan pekerjaan pekerja migran yang dijalankan pada tahun 2023, diikuti dengan beberapa siri sesi libat urus pelbagai pihak berkepentingan yang melibatkan pengeluar minyak sawit, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa. Usaha-usaha ini telah membantu mengenal pasti cabaran praktikal yang dihadapi oleh majikan, khususnya pekebun kecil dan pengeluar berskala sederhana, dalam menyelaraskan amalan pengambilan pekerja dengan jangkaan etika dan peraturan.

Pengerusi Lembaga Pengarah JASPO, Datuk Darrel Webber, menekankan kepentingan pengambilan pekerja beretika dalam memajukan agenda kemampanan Sabah. “Pengambilan pekerja beretika merupakan tonggak penting dalam perjalanan minyak sawit mampan Sabah. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkukuh amalan buruh secara bertanggungjawab, praktikal dan selaras dengan piawaian antarabangsa, di samping mengambil kira realiti yang dihadapi oleh perniagaan di peringkat lapangan,” kata Datuk Darrel.

Pengerusi Lembaga Pengarah JASPO, Datuk Darrel Webber (kiri), dan Wakil Negara Malaysia bagi Earthworm Foundation, Kiah Hui Ooi (kanan), bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani.

Di bawah kerjasama ini, Earthworm Foundation dan Sabah JASPO akan bekerjasama untuk membangunkan garis panduan pengambilan pekerja yang praktikal dan disesuaikan dengan konteks tempatan Sabah. Garis panduan ini akan diselaraskan dengan konvensyen antarabangsa dan piawaian buruh, dengan penekanan kepada sokongan terhadap pelaksanaan yang berkesan dan praktikal oleh syarikat yang beroperasi di lapangan.

Wakil Negara Malaysia bagi Earthworm Foundation, Ooi Kiah Hui, menekankan kepentingan penyelesaian yang bersesuaian dengan konteks tempatan serta kerjasama pelbagai pihak berkepentingan. “Pengambilan pekerja beretika merupakan asas penting kepada rantaian bekalan yang bertanggungjawab. Melalui kerjasama ini bersama Sabah JASPO, kami menggabungkan pengalaman di lapangan, perspektif pihak berkepentingan serta penyelarasan dasar untuk membangunkan panduan yang praktikal untuk dilaksanakan oleh syarikat, sambil kekal selaras dengan piawaian buruh antarabangsa. Usaha ini juga menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh amalan pengambilan pekerja yang bertanggungjawab di seluruh sektor minyak sawit Sabah,” kata Kiah Hui.

Majlis ini turut dihadiri oleh ahli Kumpulan Kerja Buruh di bawah Jawatankuasa Pemandu Pensijilan Bidang Kuasa Sabah (Sabah Jurisdictional Certification Steering Committee, JCSC), serta wakil daripada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Sabah dan Jabatan Imigresen Malaysia – Negeri Sabah.

Hubungan Media:

Zulmazliza Zulkifli, Senior Manager, Sekretariat Sabah JASPO | liza.zulkifli@sabahjaspo.com atau +60123869337

Sheila Kartika, Regional Communications Manager, Earthworm Foundation | s.putri@earthworm.org atau +628568871996

Mengenai Sabah JASPO

Inisiatif Sabah Jurisdictional Approach for Sustainable Palm Oil (JASPO) merupakan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dengan visi untuk mencapai pematuhan 100% terhadap piawaian kemampanan bagi tanaman kelapa sawit di seluruh negeri Sabah. Inisiatif ini bertujuan untuk mentransformasikan pengeluaran dan rantaian bekalan minyak sawit Sabah, menghentikan penebangan hutan, memulihkan ekosistem serta menjamin kelangsungan mata pencarian. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sabahjaspo.com.

Mengenai Earthworm Foundation

Earthworm Foundation ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berpaksikan impak, yang bekerjasama dengan perniagaan, masyarakat sivil, komuniti, kerajaan dan pihak lain bagi menangani isu alam sekitar dan sosial di landskap sumber serta rantaian bekalan. Pasukan pakar rantaian bekalan, sosial dan alam sekitar kami beroperasi di lima benua, dengan usaha untuk menambah baik keadaan kehidupan individu, hutan dan tanah yang terkesan oleh pengeluaran koko, bahan pembungkusan, minyak sawit, getah dan komoditi lain. Dengan rangkaian lebih 100 ahli dan rakan kerjasama, yayasan kami komited untuk melaksanakan komitmen penyumberan bertanggungjawab dalam rantaian bekalan serta membangunkan penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran sosial dan alam sekitar di pelbagai landskap sumber. Ketahui lebih lanjut di www.earthworm.org.

Berita Terkait:

Bidang Pekerjaan:
Pekerja yang Dihormati

Produk:
Kelapa sawit

Proyek:
Landskap Sabah, Malaysia

Anggota:
Nestlé Reckitt IOI Group ADM Cares Givaudan

Topik menarik bagi Anda...

18 Mar 2025

Peluncuran Panduan Perjanjian Kerja Harian untuk Kelapa Sawit Berkelanjutan

4 Sep 2024

Apical dan Earthworm Foundation Bermitra dengan Pemerintah Kabupaten Kutai Timur untuk Perluas Program Sustainable Living Village

1 Sep 2025

MPOB dan Earthworm Foundation Menyambung Kerjasama Strategik bagi Memperkukuh Daya Tahan dan Kelestarian Pekebun Kecil