Share

Facebook icon Twitter icon Mail icon
Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) dan Earthworm Foundation berganding bahu lindungi kanak-kanak di Institusi Pendidikan Sabah
Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) dan Earthworm Foundation berganding bahu lindungi kanak-kanak di Institusi Pendidikan Sabah
News 12 Jun 2025

Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) dan Earthworm Foundation Berganding Bahu Lindungi Kanak-Kanak di Institusi Pendidikan Sabah

Bacaan 5 minit

Sejak tahun 2017, Earthworm Foundation telah giat menjalankan inisiatif untuk meningkatkan kebajikan serta mempromosikan ketelusan dalam perlindungan kanak-kanak di sektor perladangan kelapa sawit di Sabah. Melalui dialog terbuka bersama wakil kerajaan, syarikat, NGO dan pakar industri, organisasi ini memupuk pendekatan kolaboratif untuk menangani cabaran sedia ada, menjelaskan peraturan, dan mencari penyelesaian mampan demi meminimumkan risiko terhadap kanak-kanak dalam rantaian bekalan kelapa sawit. Sebelum ini, Earthworm Foundation telah memperkenalkan Kerangka Penilaian Risiko Kanak-Kanak atau Child Risk Assessment Framework (CRAF), satu garis panduan praktikal yang membantu pengeluar kelapa sawit di Malaysia mengenal pasti isu utama dan mengambil langkah perlindungan hak kanak-kanak di kawasan perladangan melalui penilaian kendiri.

Pada 10 Februari 2025, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Earthworm Foundation dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Indonesia untuk menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak warga Indonesia di wilayah ini. Perjanjian ini menandakan komitmen bersama untuk memulakan Program Sekolah Selamat di Kawasan Perladangan atau Safe School in Plantation, yang bertujuan memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak dalam pengoperasian SIKK dan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di bawah seliaannya. Inisiatif ini turut meneroka peranan syarikat perladangan dalam memberi sokongan serta menjalin kerjasama dengan SIKK bagi menangani isu-isu berkaitan perlindungan kanak-kanak.

Melalui program ini, satu dasar perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh akan dirangka berdasarkan penilaian Earthworm Foundation. Dasar ini akan merangkumi langkah pencegahan dan intervensi serta diselaraskan dengan polisi syarikat perladangan yang terlibat, agar wujud kesepaduan dalam tindakan semua pihak untuk mencapai matlamat bersama.

Shaney Cheng (Pengurus Projek Sosial & Hak Asasi Manusia di Earthworm Foundation) dan Sahyuddin S. Pd. MA TESOL (Pengetua Sekolah Indonesia Kota Kinabalu) semasa majlis penyerahan

Shaney Cheng, Pengurus Projek bagi Sosial & Hak Asasi Manusia di Earthworm Foundation, menekankan pentingnya tanggungjawab bersama, sambil mengetengahkan peranan penting sektor perniagaan dalam meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak.

“Menjaga keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua, daripada syarikat perladangan dan sekolah hingga kepada pemimpin tempatan dan pembeli. Bila semua pihak bekerjasama, kita bukan sahaja melindungi anak-anak, malah membina perniagaan dan komuniti yang lebih bertanggungjawab. Sepanjang kerja kami, kami belajar bahawa perlindungan kanak-kanak bukan sekadar perkara yang betul untuk dilakukan, ia juga merupakan kunci kepada pengurusan rantaian bekalan yang beretika dan lestari.”

“Menangani isu-isu ini tidak sepatutnya hanya diletakkan atas bahu pihak sekolah. Penglibatan organisasi seperti Earthworm Foundation amat penting demi kebajikan para pelajar kami.” ujar Sahyuddin, Pengetua SIKK. Sebagai pendidik yang telah lama bergiat dalam dunia pendidikan, beliau amat memahami cabaran yang dihadapi pelajar seperti buli, trauma tidak terungkai dan tekanan rakan sebaya, yang semuanya boleh memberi kesan serius terhadap kesejahteraan dan perkembangan mereka.

Menjawat jawatan pengetua sejak tahun 2018, Sahyuddin menonjol sebagai calon luar biasa berkat pengalaman luasnya, baik di Indonesia mahupun di peringkat antarabangsa. Beliau berjaya mengatasi lebih daripada 20 calon lain dari seluruh negara untuk dipilih sebagai Pengetua Sekolah Indonesia di luar negara.

Dalam perbincangan bersama Machdaniar Nisfah, Konsul (Menteri Kaunselor) Hal Ehwal Penerangan dan Sosio-Budaya di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Sabah. Beliau menekankan pelbagai cabaran yang dihadapi dalam mengendalikan pusat-pusat pendidikan. Terdapat sekitar 181 Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) beroperasi dalam kawasan perladangan di Sabah. Beliau juga menekankan kesukaran pihak pentadbiran dalam dalam menyokong sepenuhnya lebih 141 orang Guru Bina yang ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia. Dalam konteks ini, Program Sekolah Selamat di Kawasan Perladangan hadir tepat pada masanya, sebagai satu bentuk sokongan penting kepada para guru dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak di ladang-ladang kelapa sawit.

Mesyuarat rasmi bersama Machdaniar Nisfah, Konsul (Menteri Kaunselor) Hal Ehwal Penerangan, Sosial dan Budaya di Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, bagi memahami cabaran utama dalam akses pendidikan dan perlindungan kanak-kanak Indonesia di Sabah.

Kerjasama ini menyokong komitmen kerajaan Indonesia terhadap rakyatnya di Sabah, khususnya dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak. Tumpuan akan diberikan kepada latihan peningkatan kapasiti untuk para guru, kakitangan sekolah, dan pengurusan ladang bagi memperkukuh usaha perlindungan. Namun, kejayaan jangka panjang hanya akan tercapai dengan penglibatan berterusan daripada semua pihak, ibu bapa, pendidik, penjaga, syarikat, pembuat dasar dan masyarakat. Semua memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih selamat untuk generasi muda ini.

Baca lebih lanjut mengenai inisiatif terdahulu kami:

SIKK, yang terletak dalam landskap Sabah, kini menjadi sebahagian daripada usaha sosial berskala lanskap yang dijalankan Earthworm. Ia turut berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan ketahanan komuniti dan perlindungan terhadap kanak-kanak dan belia.

Sebagai penghubung antara rantaian bekalan dan kawasan pengeluaran, Earthworm Foundation melalui pendekatan lanskap kolektif, menangani cabaran kelestarian dengan cara yang boleh diperluas dan berkesan. Landskap Sabah disokong oleh pelbagai syarikat termasuk NestleReckitt, IOI GroupGroupe Rocher, ADM Cares, GivaudanClariant, Colgate Palmolive serta mendapat manfaat daripada penglibatan komuniti, kerajaan tempatan, dan pelbagai pihak berkepentingan di peringkat lokal. Untuk maklumat lanjut mengenai projek ini, sila lawati halaman Sabah Landscape kami.

Berita Terkait:

Bidang Pekerjaan:
Our work with farmers copy Lanskap yang Sejahtera

Produk:
Kelapa sawit

Anggota:
Nestlé Reckitt Givaudan

Mitra:
ADM

Topik menarik bagi Anda...

12 Jun 2025

Memperkuat perlindungan perempuan dan anak di lanskap kelapa sawit Aceh dan Riau, Indonesia

18 Mar 2025

Peluncuran Panduan Perjanjian Kerja Harian untuk Kelapa Sawit Berkelanjutan

18 Agu 2023

Earthworm Foundation berkolaborasi dengan perusahaan untuk mendorong pertanian berkelanjutan di Indonesia