Share

Facebook icon Twitter icon Mail icon
Menyebarkan Gerakan Kehidupan Bersama Manusia-Gajah: Hari Gajah Sedunia 2025 di Daerah Tongod, Landskap Sabah
Menyebarkan Gerakan Kehidupan Bersama Manusia-Gajah: Hari Gajah Sedunia 2025 di Daerah Tongod, Landskap Sabah
News 19 Sep 2025

Menyebarkan Gerakan Kehidupan Bersama Manusia-Gajah: Hari Gajah Sedunia 2025 di Daerah Tongod, Landskap Sabah

Tongod, Sabah – 18 September 2025 – Tahun ini, Hari Gajah Sedunia disambut di Daerah Tongod, diterajui oleh Pejabat Daerah Tongod, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Earthworm Foundation, dan agensi-agensi rakan kerjasama. Lebih daripada 500 peserta, termasuk komuniti setempat, pelajar, agensi kerajaan, dan badan bukan kerajaan (NGO), berkumpul untuk menekankan kepentingan kehidupan bersama antara manusia dan gajah – satu keutamaan yang semakin penting dalam memastikan kesejahteraan komuniti dan gajah Borneo.

Meneruskan momentum dari sambutan tahun-tahun sebelumnya di Beluran, acara tahun ini di Tongod menjadi langkah semula jadi dalam memperluas gerakan kehidupan bersama, melibatkan lebih ramai komuniti dan mengukuhkan kerjasama di seluruh Sabah. Di kawasan di mana gajah dan manusia berkongsi landskap yang sama, pertembungan boleh membawa risiko kepada kedua-dua pihak dan juga mata pencarian penduduk.

Bagi menangani isu ini, sambutan kali ini menonjolkan penyelesaian yang dipimpin oleh komuniti melalui persembahan kebudayaan, aktiviti kesedaran pemuliharaan oleh Wildlife Junior Rangers, serta forum bertajuk “Gajah dan Komuniti: Peranan Kumpulan Rondaan Komuniti dalam Kehidupan Bersama Gajah” yang dimoderatkan oleh Earthworm dan disertai oleh Community Elephant Ranger Team (CERT), Pasukan Renjer Aki Keramuak, dan 7Team.

Melalui muzik dan pergerakan, para pelajar di Tongod berkongsi budaya mereka sempena sambutan Hari Gajah Sedunia 2025, mengingatkan kita bahawa kehidupan bersama merangkumi manusia, warisan, dan gajah yang hidup dalam harmoni.

Para pelajar turut serta dalam pertandingan melukis poster dan mewarna, manakala inisiatif komuniti tempatan turut dihargai, termasuk pelaksanaan 3P (Pemantauan, Pengawalan dan Pengiringan) – satu Prosedur Operasi Standard (SOP) praktikal yang dibangunkan bersama oleh Earthworm Foundation, Seratu Aatai, dan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi membimbing renjer komuniti semasa berhadapan dengan gajah.

Usaha-usaha ini menekankan kepentingan memperkasakan komuniti sebagai barisan hadapan dalam menjaga kawasan yang terlibat dengan interaksi manusia dan gajah. Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Bin Yusof, menekankan keperluan mendesak untuk pemuliharaan dengan merujuk kepada sejarah Sabah, "Gajah Borneo adalah sebahagian daripada warisan semula jadi kita yang tidak boleh digantikan. Kita tidak boleh membiarkannya menerima nasib yang sama seperti badak Sumatera yang baru-baru ini diisytiharkan pupus di Sabah. Melindungi gajah hari ini bermakna melindungi biodiversiti, budaya, dan kesejahteraan generasi masa depan.”

Yang Berhormat Datuk Masiung Banah, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, turut menyuarakan kepentingan tanggungjawab bersama "Gajah adalah sebahagian daripada identiti semula jadi dan warisan Sabah. Kebanyakan pekebun kecil, terutamanya penanam sawit, kini melihat ladang mereka lebih terlindung daripada gangguan gajah, yang membantu memastikan mata pencarian mereka terus terjaga. Melindungi gajah sambil menjaga komuniti adalah cabaran yang mesti kita hadapi bersama. Inisiatif seperti sambutan hari ini di Tongod menunjukkan bahawa apabila kerajaan, NGO dan komuniti bersatu, kita boleh mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada manusia dan hidupan liar.”

Seruan untuk perpaduan ini turut disokong oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, yang menekankan bahawa kehidupan bersama hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat dengan komuniti setempat. "Jabatan Hidupan Liar Sabah sejak sekian lama menyedari bahawa kunci menangani interaksi manusia dan gajah terletak pada penglibatan komuniti,” kata Pengarah Mohd Soffian Bin Abu Bakar. "Melalui latihan, pengiktirafan, dan platform seperti sambutan ini, kita memperkasakan masyarakat tempatan untuk memainkan peranan aktif dalam pemuliharaan. Acara ini mencerminkan komitmen yang semakin kukuh terhadap pendekatan yang lebih inklusif dan kolaboratif.”

Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Komuniti, Tokyo @ Abdul Hassim Haji Omar, melawat reruai pameran dan turut serta dalam sesi bergambar bersama para pelajar yang dengan bangga mempamerkan poster seni mereka yang menggambarkan visi kehidupan harmoni antara manusia dan gajah.

Bagi Earthworm Foundation, acara ini bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran atau aktiviti tahunan bersifat seremonial, tetapi lebih kepada membina asas yang kukuh bagi pemuliharaan yang dipimpin oleh komuniti sebagai sebahagian daripada inisiatif landskap Sabah yang lebih luas. Pasukan rondaan komuniti terbukti berkesan sebagai barisan hadapan dalam mengurangkan risiko kepada manusia dan gajah. “Kami berbangga kerana Tongod telah memulakan inisiatif ini, dan dengan sokongan agensi kerajaan, pemimpin tempatan, serta masyarakat sivil, kami berharap pendekatan ini dapat diperluaskan ke seluruh Sabah,” kata Kiah Hui Ooi, Wakil Negara Earthworm Foundation Malaysia. “Memperkasakan komuniti adalah kunci kepada kesinambungan kehidupan bersama antara manusia dan gajah dalam jangka panjang. Saya menyeru semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama merealisasikan matlamat ini di seluruh landskap.”

Dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, inisiatif ini terus berkembang sebagai usaha kolektif untuk melindungi gajah Borneo sambil mempromosikan pembangunan lestari untuk masyarakat setempat.


Kontak

Sheila Kartika, Manajer Komunikasi Regional Earthworm Foundation 

+62856-887-1996 or s.putri@earthworm.org  

 

Tentang Earthworm Foundation  

Earthworm Foundation ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang didorong oleh impak, yang bekerjasama dengan perniagaan, masyarakat sivil, komuniti, kerajaan dan pihak lain untuk menangani isu alam sekitar dan sosial di kawasan sumber dan rantaian bekalan. Pasukan kami yang terdiri daripada pakar rantaian bekalan, sosial, dan alam sekitar beroperasi di lima benua, berusaha untuk memperbaiki keadaan individu, hutan, dan tanah yang terjejas akibat pengeluaran koko, pembungkusan, minyak sawit, getah, dan komoditi lain. Dengan rangkaian lebih daripada 100 ahli dan rakan kongsi, Earthworm Foundation komited dalam melaksanakan komitmen sumber bertanggungjawab dalam rantaian bekalan dan mencipta penyelesaian praktikal untuk menangani cabaran sosial dan alam sekitar di pelbagai landskap sumber.

Ketahui lebih lanjut di www.earthworm.org.

Topik menarik bagi Anda...

4 Sep 2024

Apical dan Earthworm Foundation Bermitra dengan Pemerintah Kabupaten Kutai Timur untuk Perluas Program Sustainable Living Village

1 Sep 2025

MPOB dan Earthworm Foundation Menyambung Kerjasama Strategik bagi Memperkukuh Daya Tahan dan Kelestarian Pekebun Kecil

25 Jun 2024

Memperkuat Dampak: Komitmen Earthworm dalam Mengukur Perubahan